Berdasarkan respon yang diterima dari kaum lelaki secara rawak, kebanyakan lelaki kurang menggemari warna merah jambu bukan kerana ia warna lembut tetapi ia dikatakan warna yang hanya sesuai untuk kaum perempuan. Jika ada lelaki yang berminat dengan warna comel ini, pastinya 'status' mereka akan dipertikai.

Ramai orang percaya bahawa warna mempunyai maksud tertentu. Malah, warna juga boleh mempengaruhi mood dan emosi buat si pemakai. Selain berkaitan emosi, warna merah jambu juga hanya serasi dengan warna kaum perempuan kerana warnanya yang lembut dan comel.

Jangan tersilap kerana kaum lelaki bukannya membenci warna merah jambu tetapi mereka merasakan warna merah jambu membuatkan mereka tidak menarik dan tidak sesuai dengan bentuk fizikal. Malah, bilangan kaum perempuan yang menggemari warna merah jambu lebih ramai sehingga menjadikan warna ini seolah-olah warna milik kaum perempuan sahaja.

Tidak semua lelaki benci warna merah jambu. Ini terbukti apabila Johan, mempunyai pakaian berwarna merah jambu di dalam almari pakaiannya. "Saya suka warna merah jambu tetapi lebih memilih merah jambu gelap dan bukannya merah jambu yang pucat. Tidak ada salah asalkan saya memakai pakaian lelaki," ujar jejaka dari Damansara ini.

Alasan warna merah jambu juga bukanlah 'kawan baik' lelaki kerana ada sesetengah lelaki telah memulakan rumor bahawa warna ini hanya untuk perempan. Jadi, jika ada lelaki yang memilih wana merah jambu, mereka akan ditertawakan!

Sebenarnya, sejak dari dulu lagi teori warna merah jambu untuk perempuan dan warna biru untuk lelaki telah ditentukan oleh masyarakat. Menerusi foto bayi bermula tahun 1800 lagi, awalnya pakaian bayi lebih kepada warna putih tanda bayi yang masih 'bersih'. Namun, aplikasi pemilihan warna ini adalah untuk memberitahu bahawa seseorang itu bakal mempunyai anak perempuan mahupun lelaki dengan mewakili warna.

Disebabkan itu juga, setiap kali majlis seperti 'baby shower' atau apa saja pemberian hadiah, ramai memilih warna merah jambu khas untuk wanita dan warna biru pula warna khas untuk lelaki.

Hakikatnya, ia cuma ditentukan oleh masyarakat sekeliling tetapi tidaklah diiktiraf di peringkat dunia! Tidak ada salahnya anda meminati warna merah jambu. Masih ada juga lelaki yang masih tampil kacak dan macho apabila mengenakan warna merah jambu malah berjaya mencuit hati para wanita. Tahu atau tidak bahawa kaum perempuan juga boleh tergoda melihat lelaki memilih merah jambu kerana bagi mereka, lelaki itu sangat 'sweet' dan romantik!
Sumber : Maskulin