Dijadikan lelaki itu untuk menjadi khalifah.Menjadi contoh dan pendidik. Tetapi apakah layak seorang lelaki diangkat menjadi contoh andai diri sendiri tidak beradab, miskin ilmu dan ahklaknya.Jadi mari lelaki semua, hisab kelemahan diri. Yang buruk dicantikkan, yang lemah diperkuatkan. Nilaikan 35 etika atau 'peraturan' menjadi lelaki sejati. Agar sejuk perut ibu mengandungkan kamu, bahagia si dia bergelar isterimu dan bahagia permata hatimu bila tahu yang molek adabnya adalah ayahnya.
1. Jika kamu seorang perokok, jangan sesuka hati menghembuskan asap beracun itu ke muka orang di sekeliling. Misalnya warga emas mahupun wanita yang hamil dan kanak-kanak.
2. Jika naik kenderaan awam jangan main serbu sahaja. Tolong tunggu giliran dan beratur. Jika ada yang perlukan bantuan jangan berat tulang menghulurkan bantuan.
3. Ingat lagi iklan kemasyarakatan yang dilakonkan oleh Adlin Aman Ramli suatu ketika dulu? Jika naik kenderaan awam jangan berat punggung hendak memberikan tempat duduk kepada penumpang yang lebih memerlukan.
4. Jangan suka pandang rendah kepada kemampuan orang lain, lebih-lebih lagi kepada wanita. Wanita zaman sekarang sangat competitive. Mereka bukan lagi mahkluk ciptaan tuhan yang boleh diperlekehkan.
5. Jangan suka tunjuk pandai lebih-lebih kepada sesuatu perkara yang kamu sendiri kurang pasti. Lebih baik merendah diri.
6. Jangan mudah melenting bila orang lain menegur kesilapan yang kamu lakukan. Terima apa sahaja yang di sampaikan sebagai satu teguran untuk kamu memperbaiki kelemahan diri.
7. Tolong hormat majlis. Lelaki kebanyakannya tidak tahu menghormati majlis yang dihadiri khususnya dalam soal etika pemakaian. Jika majlis yang di hadiri mempunyai kod pakaian, sila patuhinya. Jangan main sarung
sahaja.
8. Bila di majlis tolong hormat dan beri perhatian kepada perjalanan majlis. Jangan sesuka hati buat agenda sendiri. Patuhi protokol.
9. Jangan ambil mudah soal penampilan. Pastikan diri sentiasa tampil kemas. Kebersihan diri mesti dijaga,
jangan sampai orang sebelah terpaksa menutup hidung menahan bau badan kamu yang tidak semenggah.
10. Tolong jaga kebersihan sekeliling dimana jua kamu berada. Jangan sesuka hati membuang sampah. Yang biasa dilihat, dimana kamu menghisap rokok, disitu juga la puntung rokok bersepah.
11. Tolong hormati sesiapa sahaja. Rakan sebaya. kanak-kanak dan lebih lagi rasa hormat itudiberikan kepada orang lagi lebih tua.
12. Jika hendak berlawak, biarkan yang senonoh. Tolong jaga sensitiviti orang di sekeliling kamu. Lawak-lawak berunsur lucah sila tinggalkan.
13. Jika bercakap jangan sesekali meninggikan suara. Walaupun berada dalam keadaan marah, cuba kawal emosi aggar tidak menyinggung perasaan orang lain.
14. Jangan jadikan jalan raya sebagai trek berlumba. Jangan memandu laju sehingga membuatkan orang disebelah kamu menarik nafas dan menutup mata kerana takut dengan cara kamu memandu. Fikirkan keselamatan orang lain.
15. Jika memandu, sila patuhi semua peraturan. Lampu merah jangan dilanggar, tunggu giliran jangan suka memotong. Hormati pemandu-pemandu lain.
16. Bila berjalan bersama-sama keluarga, jangan dibiarkan isteri kamu seorang yang mendukuung dan membimbing tangan anak kamu. Yang banyak dilihat si isteri yang berkejar ke sana sini mengawal anak, takut terlepas. Si suami jalan di hadapan seorang diri.
17. Bagi yang berjalan dengan isteri yang sarat mengandung, jangan kamu tinggalkan dia di belakang . Metang-metang perutnya membesar ke depan, kamu malu berdamping dengannya.
18. Jangan sesuka hati melepaskan rasa marah. Kurangkan atau buangkan sahaja sikap panas baran kamu. Tiada untungnya kamu bersikap sebegitu.
19. Jangan ego. Jika kamu melakukan kesilapan, akuinya. Orang akan lebih hormat jika kamu mengakui kekurangan diri dan rela memperbetulkan kesilapan.
20. Jangan sesuka hati bersiul-siul mengacau atau mengurat perempuan. Bila tidak dilayan mulalah mengejek-ejek kononnya perempuan itu perasan cantik. Apa kamu rasa jika adik kamu diperlakukan sebegitu?
21. Jika ke kelab hiburan atau kemana sahaja, tangan kamu itu tolong duduk diam, jangan suka meraba. Kawal nafsu.
22. Jika kamu ingin mengenali atau mendekati seseorang, gunalah cara yang terhormat. Perkenalkan diri terlebih dahulu. Jika baik niat dan betul caranya, kamu akan diterima. Jika si dia menolak sekali pun, dia akan menolak dengan cara terhormat sama sebagaimana kamu datang kepada nya.
23. Jika tinggal bujang, hormati jiran tetangga. Jangan tengah-tengah malam kamu menjerit-jerit bersorak bila pasukan kegemaran kamu menjaringkan gol. Orang lain hendak tidur, esok hendak kerja.
24. Fahami dan ikuti adab hidup berjiran. Jaga kebersihan rumah. Jangan kerana sikap kamu yang suka membuang sampah merata, jiran tetangga tanggung akibatnya. Dek sikap kamu yang tidak tahu jaga kebersihan, jentik-jentik beranak pinak dan orang lain pula yang terkena demam denggi.
25. Kemudahan awam itu dicipta untuk kegunaan bersama. Kamu lelaki, jangan sesuka hati merosakkan kemudahan yang ada. Telefon awam itu jangan dipecahkan dan papan-papan tanda jangan diconteng.
26. Bila di pejabat jangan suka curi tulang, walaupun kamu adalah seorang ketua, itu bukan tiket kamu keluar sesuka hati. Cuba jadikan diri kamu sebagai contoh kepada pekerja-pekerja lain.
27. Jangan jadikan isteri kamu seperti orang gaji, memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah semuanya isteri kamu seorang yang lakukan. Sebagai lelaki kamu bertanggungjawab meringankan beban kerja rumah. Jangan duduk goyang kaki sahaja.
28. Bila ditugaskan untuk kerja berkumpulan, jangan tahu mengarah sahaja. Selalunya bila dalam satu kumpulan yang diketui oleh lelaki, biasanya mereka tidak mengambil bahagian dalam menyempurnakan tugasan.
29. Kalau sudah tahu bukan kamu seorang yang rajin mengemas, jadi janganlah pula kamu rajin sepahkan. Sekali dua bolehlah isteri atau ibu kamu kemaskan, masuk kali ketiga tiada siapa yang hendak layan.
30. Jangan suka melawan atau memberontak sesuka hati. Walaupun ada sesuatu perkara yang kamu tidak suka atau bersetuju, ada cara baik untuk membantahnya.
31. Pabila azan maghrib berkumandang sila segera pulang ke rumah. Tetapi sayangnya yang banyak berlaku ialah masih ramai yang melepak di tepi jalan bersama kawan-kawan. Lebih teruk lagi jika kamu sedang menyanyi dan bermain gitar.
32. Jika kamu seorang ketua di pejabat, jangan pula kamu yang menggalakkan anak buah kamu buat perkara yang tidak baik. Yang biasa berlaku, ketualah yang ajak anak-anak buah keluar curi tulang ketika waktu bekerja. Lama-lama anak buah pun tidak punya rasa hormat. Kamu tidak ubah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
33. Jika ke tandas awam, terlalu banyak beza antara tandas lelaki dan perempuan. Kebersihannya jarang sekali mencapai tahap memuaskan. Wahai lelaki semua sila jaga kebersihan.
34. Bila berkunjung ke rumah saudara-mara atau ke majlis kahwin, lelaki jarang sekali membawa buah tangan atau hadiah. Tiada salahnya keluar sedikit wang membeli buah tangan sebagai tanda terima kasih atas undangan yang diberikan.
35. Lelaki memang gemarkan muzik. Jadi bila kamu mendengar muzik jangan dipasang kuat-kuat hingga menganggu orang lain. Cukuplah sekadar kamu dengar seorang.
2 comments:
semua yg kat ats tu betul.. baru lah betul gentleman.. hehehehhee..
haha..yezza, ini utk nk bgtau kpd yg masih x tau lagi..hehe
Post a Comment